Isnin, 30 Mei 2011

Kenangan Hari Guru 2011

Kenangan Sambutan Hari Guru 2011, Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara ..... koleksi seterusnya sedang dikumpul....gambar-gambar ini dikumpulkan daripada fb rakan-rakan..... untuk gambar statik klik di sini

Rabu, 25 Mei 2011

Guru SMK Telok Datok menerima anugerah sempena Hari Guru

Sambutan Hari Guru 2011 peringkat negeri Selangor telah diadakan pada 23 Mei 2011, di Dewan Besar, Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam.  Sempena sambutan tersebut, salah seorang guru SMK Telok Datok ialah Dr Ghazali L:ateh telah dipilih sebagai pemenang tempat pertama peraduan menulis cerita kanak-kanak sempena Hari Guru kategori guru.  Selain itu, salah seorang murid SMK Telok Datok, Muhamad Luqman bin Asnawar telah memenangi tempat ketiga peraduan tersebut dalam kategori menengah rendah.
Pemangku Pengarah Pelajaran Negeri, Tuan Haji Mahmud  telah menyempurnakan penyampaian hadiah tersebut.

Sabtu, 14 Mei 2011

PERUTUSAN HARI GURU 2011

MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
Y.A.B. TAN SRI HAJI MUHYIDDIN BIN HJ MOHD YASSIN
SEMPENA PERAYAAN HARI GURU KE-40

“GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam sejahtera dan
Salam 1Malaysia.

Pendahuluan

Tanggal 16 Mei setiap tahun seluruh negara akan meraikan Hari Guru sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan kaum guru. Justeru, marilah kita semua bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita dapat menyambut Hari Guru kali ke-40 pada tahun ini.

”Selamat Hari Guru” dan terima kasih serta setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen, keikhlasan, dedikasi dan prestasi tinggi para guru kepada bangsa dan negara. Memperingati hari besar untuk guru membolehkan kita mengenal dan mengakui jasa guru tiada tolok tandingnya.

Pemilihan tema Hari Guru tahun ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara” pada saya amat tepat kerana guru merupakan pemangkin dan penjana kepada transformasi negara, kerana daripada gurulah anak-anak kita mula mengenali dan mempelajari erti kehidupan.

Tanpa guru maka tidak adalah pendidikan. Sentuhan profesional yang bermartabat, penuh tanggungjawab dan berkualiti membolehkan anakanak bangsa menerima proses pembelajaran yang terbaik dan bermutu. Pelaburan segala ilmu pengetahuan, keperibadian, jati diri serta budaya Malaysia oleh warga guru telah memungkinkan kemakmuran negara dapat dikecapi, malahan tanpa guru yang mengajar kita bertatih mengenal A, B, C, tidak akan mungkin kita boleh membaca, menulis dan mengira sekarang.

Prestasi, keteladanan dan kepeloporan para guru yang telah ditunjukkan sejak sebelum merdeka sehingga kini merupakan semangat dan tradisi perjuangan yang perlu terus diabadikan dalam diri guru. Cetusan semangat perjuangan ini sememangnya penentu harapan masa depan negara dan tidak berlebihan jika dikatakan transformasi negara adalah dipertaruhkan kepada mereka yang bergelar sebagai guru.

Apabila kita mengenang semula sejarah, nilai-nilai kemuliaan guru boleh kita imbasi dengan cerita seorang wanita bernama Hajjah Zainon binti Munshi Sulaiman. Kejayaan yang dicapai dalam pendidikan telah dikongsi dengan masyarakat. Beliau mempunyai kesedaran yang sangat tinggi untuk menjadikan masyarakat pandai membaca dan menulis, kerana ilmu merupakan kunci dalam membentuk jati diri. Menyedari pentingnya ilmu, maka Zainon yang kita lebih kenali sebagai Ibu Zain telah menubuhkan sebuah sekolah di Pasuh Jaya, Negeri Sembilan.

Usaha Ibu Zain meningkatkan pendidikan anak bangsa diteruskan apabila beliau mengasaskan sekolah agama petang, yang juga merupakan sekolah agama perempuan pertama di Johor. Jasa Ibu Zain tambah bermakna selepas pendudukan Jepun di bumi Malaya. Beliau menjalankan kegiatan dakwah bagi membantu memulihkan akhlak golongan wanita yang terpengaruh dengan tentera Jepun, selain membantu memulihkan semangat mereka yang dianiaya oleh mereka.

Dalam usaha mencapai kemerdekaan negara, Ibu Zain telah mencurahkan setia bakti demi sebuah kemerdekaan. Tanpa usaha gigih seorang guru seperti Ibu Zain pasti kemerdekaan sukar dicapai. Usaha-usaha pembaharuan yang dilakukan oleh Allahyarhamah Tan Sri Hajjah Zainon binti Munshi Sulaiman dengan ini menunjukkan guru berperanan penting dalam pembangunan negara. Sesungguhnya, guru menjana pemikiran untuk mengubah nasib bangsa melalui pendidikan.

Kini, matlamat menjadikan Malaysia negara maju menjelang 2020 juga amat bergantung kepada keupayaan dan kesungguhan warga pendidik dalam menyedia dan menyampaikan pendidikan berkualiti. Tugas guru adalah untuk melaksanakan amanah dengan ikhlas dan penuh tanggungjawab. Guru perlu melaksanakan tugas dengan bersungguhsungguh, jujur dan ikhlas dalam mendidik anak bangsa supaya menjadi insan sempurna peribadi. Saya yakin, semua guru sentiasa berusaha ke arah memberi pendidikan yang terbaik bagi memenuhi keperluan dan permintaan ibu bapa serta murid-murid.

Berpaksi kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pembangunan modal insan secara holistik melalui sistem pendidikan yang terancang mampu untuk memacu dan mencipta kejayaan negara pada peringkat global. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah merencanakan pelbagai dasar dan program dalam mentransformasikan Sistem Pendidikan Negara. Transformasi pendidikan perlu dilaksanakan agar terus relevan dengan keperluan negara dan antarabangsa. Melalui transformasi ini, hasrat dan aspirasi negara untuk menjadi sebuah negara maju dengan rakyat berkemahiran tinggi mengikut acuan sendiri yang seimbang dari segi ekonomi, politik, sosial, kerohanian dan kebudayaan dapat direalisasikan.

Transformasi sistem pendidikan dilakukan dengan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan keupayaan penyampaian agar relevan dengan tuntutan semasa. Saya amat berharap guru menjadi penyambut utama dan melaksanakannya dengan bijaksana. Dalam konteks ini, kualiti guru perlu terus dipertingkatkan terutama aspek pengetahuan dan kemahiran. Usaha berterusan amat wajar demi meningkatkan lagi kompetensi guru sebagai pelaksana utama kepada transformasi pendidikan negara.

Semua warga pendidik telah sedia maklum dengan ungkapan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), yang merupakan teras kepada reformasi kepada cara kita bekerja. Menyedari pentingnya pendidikan kepada rakyat, maka Pendidikan telah dijadikan salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara. Kejayaan NKRA pada tahun lepas, sememangnya amat membanggakan KPM. Peningkatan jumlah murid dalam mengikuti Pendidikan Prasekolah, pencapaian dalam literasi dan numerasi (LINUS) yang memberansangkan, bilangan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang bertambah dan bilangan Guru Besar yang mendapat insentif di luar jangkaan iaitu sebanyak 7 peratus serta pelaksanaan Program Pembangunan Sekolah (SIP) yang telah berjaya menurunkan bilangan sekolah dalam Band 6 dan Band 7, menunjukkan betapa hebatnya guru-guru di Malaysia ini.

Syabas dan tahniah, saya ucapkan kepada semua Pengetua, Guru Besar dan guru-guru yang telah bekerja keras memastikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mencapai sasaran yang ditetapkan. Sebenarnya kejayaan NKRA ini, adalah kejayaan kita semua di mana hasil kerja keras semua pihak terbabit. Semoga usaha ini akan diteruskan lagi untuk pencapaian akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Pendidikan bermatlamat untuk membina dan membangunkan potensi setiap murid tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Matlamat ini bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Guru mempunyai tanggungjawab yang amat besar dalam memupuk bibit-bibit perpaduan anak bangsa sejak berada di bangku sekolah lagi. Sekolah merupakan tempat kanak-kanak bersemuka dengan rakan-rakan tanpa mengira perbezaan warna kulit.

Oleh itu, saya menaruh penuh keyakinan bahawa guru mampu menjana, menyemai dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid pelbagai kaum sebaik mungkin.

Kita semua tidak dapat menafikan bahawa perubahan terus berlaku dan pengaruh kuasa luar amat mencabar. Kesan globalisasi dan perkembangan ICT menuntut semua warga pendidik berusaha gigih bagi menghasilkan anak didik yang benar-benar berilmu, berakhlak mulia, mempunyai jati diri, dan mampu bersaing pada peringkat nasional mahupun global. Guru memainkan peranan yang utama dalam usaha melahirkan modal insan yang berilmu, kreatif, inovatif dan berketerampilan. Guru perlu menjadi pemain utama dalam menjana Model Baru Ekonomi bagi melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi.

Saya amat berharap guru dan murid perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk bersama-sama menjana transformasi dalam membangunkan pendidikan negara. Ingatlah bahawa peranan guru sentiasa dinilai oleh masyarakat. Guru perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada anak didik dan masyarakat. Berkhidmatlah dengan penuh ikhlas. Teruslah berjuang kerana guru penjana Transformasi Pendidikan Negara. Sesungguhnya Malaysia amat memerlukan khidmat bakti para guru. Murid-murid sayangilah guru anda, mereka umpama ibu dan ayah.

Kepada semua guru, sekali lagi saya ucapkan jutaan terima kasih atas segala jasa yang telah tuan/puan sumbangkan. Jasa dan pengorbanan ini akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat.

“Selamat Menyambut Hari Guru”.

“Terima kasih cikgu”.

Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalam mualaikum warah matullahi wabarakatuh.

Kementerian Pelajaran Malaysia
Putrajaya
10 Mei, 2011

Rabu, 4 Mei 2011

MAJLIS CITRA GEMILANG 2011


MAJLIS CITRA GEMILANG
Majlis telah dirasmikan oleh Ybh. Dato' Haji Sulaiman bin Mohd. Karli, Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, pada hari Jumaat, 29 April 2011, bertempat di Dewan Utama SMK. Telok Datok

Majlis telah berlangsung dalam suasana yang berwarna warni. Ucapan-ucapan yang bersemangat telah disampaikan kepada para pelajar dan ibu bapa yang hadir, semoga terus berusaha menjadi modal insan yang berjaya agar dapat menyumbang bakti kepada keutuhan bangsa dan negara.


LAWATAN PEGAWAI PENDIDIKAN DARI PHLIPINA KE SMKTD

Lawatan Pegawai Pelajaran Filipina ke SMK. Telok Datok, pada hari Jumaat, 29 April 2011. Lawatan tersebut dianggotai oleh DR LOLITA ANDRADA dan DR ETHEL AGNES P. VALENZUELA bersama Pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tujuan lawatan adalah untuk meninjau sistem pengurusan pendidikan negara secara am dan kelengkapan yang disediakan oleh SMKTD kepada warganya secara khusus.

.....Assalamualaikum….

.....Buat sesiapa sahaja yang melayari blog ini, sekalung ucapan terima kasih buat anda dan salam perkenalan kepada yang belum mengenali. Sekiranya yang menatap blog ini adalah kawan lama yang terpisah, mudah-mudahan blog ini menjadi penghubung semula ikatan ukhuwwah filLah di antara kita..Ahlan Wasahlan..

- SMK Telok Datok Terbilang 2010 -