Sabtu, 23 Mei 2009

Adab Penuntut Ilmu

Para pelajar yang dikasihi,

Jika ada banyak keperluan dalam hidup kita, maka ilmu menjadi keperluan utama dalam hidup. Ilmu adalah bekalan yang paling penting. Ilmu menukarkan seseorang yang miskin dan hina menjadi insan yang mulia. Oleh itu, ilmu perlu dicari. Ia tidak akan datang sendiri. Ketika menuntut ilmu, jagalah adap-adapnya. Antara adab yany perlu dijaga oleh seorang penuntut ilmu ialah:

Pertama - Betulkan niat atau tujuan belajar kita. Seharusnya niat kita belajar adalah untuk mendapatkan ilmu sebanyak mungkin. Dengan ilmu nanti, kita mendapat kebaikan dan manfaat. Dengan ilmu juga kita dapat memberi manfaat kepada orang lain.

Kedua - Memuliakan guru. Anggaplah guru sebagai insan yang penting sebagaimana pentingnya ibu bapa kita. Guru adalah insan yang banyak berjaya dalam hidup kita. Penuntut ilmu harus selalu berlapang dada dan bersedia menerima pengajaran daripada seorang guru. Jangan sesekali mengumpat atau mencela guru.

Ketiga - Mengeluarkan diri kita dari kejahilan dan membantu orang lain keluar dari kejahilan mereka. Manusia pada asalnya jahil dan tidak tahu apa-apa pun. Melalui pembelajaran, manusia mendapat ilmu pengetahuan. Kemudiannya dia menyampaikan ilmu kepada orang lain pula. Ilmu itu akan terus bersambung dari satu generasi kepada satu generasi seperti yang digalakkan oleh Rasulullah. Sabda Rasulullah s.a.w. "Sampaikan dariku walaupun cuma satu ayat" (HR:Bukhari)

Imam Ahmad berkata: Ilmu itu tidak ada bandingannya apabila niatnya benar. Para muridnya bertanya: Para muridnya bertanya: Apakah maksud tuan? Beliau menjawab: Apabila ia berniat menghilangkan kebodohan dari dirinya dan dari orang lain.

Keempat - Mengamalkan ilmu yang dipelajari. Kajian mendapati orang yang mengamalkan ilmu yang telah dipelajari lebih mengingati dan memahaminya serta mendapat lebih manfaat dari ilmu tersebut. Ada perumpamaan yang mengatakan, orang yang memilikki ilmu seolah-olah memilikki senjata atau pedang. Apalah ertinya senjata itu jika tidak digunakan.

Kelima- Mencari kebenaran. Maksudnya, setiap ilmu yang diterima harus diselidik kebenarannya. Dalam mencari kebenaran kita harus sabar dan tidak tergesa-gesa. Jangan cepat merasa bosan dan keluh kesah semasa mencari ilmu. Walau sesukar mana sesuatu pelajaran itu, jika terus berusaha memahaminya melalui pelbagai cara tentu akan berhasil akhirnya.

Para pelajar yang dikasihi sekalian,

Jaga adab dalam menuntut ilmu. Jangan menjadi orang yang sombong dengan merasa dirinya sudah pandai. Jangan menjauhkan diri dari orang yang berilmu kerana perbuatan itu seolah-olah lari dari ilmu. Tuntutlah seberapa banyak ilmu kerana ilmu yang bermanfaat dan dimanfaatkan akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah.

Sumber: SPIM, Jabatan Pelajaran Selangor

Tiada ulasan:

.....Assalamualaikum….

.....Buat sesiapa sahaja yang melayari blog ini, sekalung ucapan terima kasih buat anda dan salam perkenalan kepada yang belum mengenali. Sekiranya yang menatap blog ini adalah kawan lama yang terpisah, mudah-mudahan blog ini menjadi penghubung semula ikatan ukhuwwah filLah di antara kita..Ahlan Wasahlan..

- SMK Telok Datok Terbilang 2010 -